Sejarah Pembumian elektrik

Sistem talian telegraf jarak jauh sejak tahun 1820 menggunakan dua atau lebih wayar untuk membawa isyarat serta arus balikan. Kemudian, satu penemuan baru, mungkin oleh seorang saintis Jerman bernama Carl August Steinheil pada tahun 1836-1837 , mendapati bahawa bumi boleh digunakan sebagai laluan balik bagi melengkapkan litar tanpa memerlukan wayar balikan. Walau bagaimanapun, sistem tersebut terdapat beberapa masalah, contohnya melalui talian telegraf jarak jauh yang dibina pada tahun 1861 oleh Western Union Company antara Saint Joseph, Missouri, dan Sacramento, California. Semasa cuaca kering, sambungan bumi sering membentuk rintangan tinggi, menyebabkan pengguna terpaksa menyiram air pada elektrod bumi bagi membolehkan telegraf berfungsi.

Lama kemudian, setelah telefon mula menggantikan telegraf, didapati bahawa arus di dalam bumi yang diaruh oleh sistem bekalan elektrik, landasan kereta api elektrik, sistem telefon dan telegraf, serta kilat menyebabkan gangguan yang tidak boleh diterima pada isyarat bunyi; oleh itu, sistem dua wayar diperkenalkan semula.

Keperluan bagi membumikan peralatan elektrik bermula hasil ciptaan plag 3 pin oleh Philip F. Labre, semasa beliau masih menuntut di Sekolah Kejuruteraan Milwaukee (MSOE). Dikatakan tuan rumahnya mempunyai seekor kucing yang suka melanggar kipasnya semasa datang dari arah tingkap. Setiap kali dia memalamkan kipas itu semula, dia akan terkena kejutan elektrik. Labre mendapati bahawa jika plag tersebut dibumikan, arus elektrik akan pergi ke bumi dan bukannya ke badan tuan rumahnya. Beliau memohon dan seterusnya diberikan paten bagi plag dan soket yang dibumikan pada 5 Jun 1928.[1] Setelah keperluan bagi pemasangan yang lebih selamat menjadi semakin ketara, sistem 3 pin yang dibumikan diwajibkan di kebanyakan negara industri.